KUALA LUMPUR: “Perbuatan menggantung anak patung di bampar kereta jika dilakukan umat Islam adalah amalan sesat yang menjurus kepada syirik kerana ia meniru perbuatan orang kafir kononnya mampu mengelak roh mengganggu mereka dan mengakibatkan kemalangan,” kata penceramah dan pendakwah, Datuk Mohd Zawawi Yusoh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan segelintir pemandu beragama Islam yang sesuka hati menggantung anak patung di bawah kenderaan mereka tanpa mengetahui ia sebenarnya amalan pemandu di Thailand untuk menghalau roh jahat.
Tinjauan Harian Metro mendapati segelintir pemandu menggantung pelbagai anak patung lembut berwarna-warni termasuk daripada karakter popular di bampar kereta dan perbuatan itu kini dianggap sebagai gaya menarik untuk mencantikkan kenderaan masing-masing.
Menurut maklumat dalam laman web thailandguru.com, perbuatan meletakkan anak patung bawah kereta adalah budaya orang Thailand kerana mereka percaya roh orang yang maut akibat kemalangan akan berkeliaran di kawasan mereka mati. Oleh itu, bagi mengelakkan roh terbabit terutama roh kanak-kanak mengganggu pemandu dan mengakibatkan kemalangan mendorong mereka menggantung anak patung pada bampar kereta. Ini kononnya dapat memperdaya roh itu yang akan leka bermain dengan anak patung berkenaan.
Trend ini kemudian dibawa oleh pemandu teksi Thai supaya roh mangsa kemalangan tidak mengganggu penumpang mereka. Kepercayaan terbabit dipercayai berasal dari Korea sebelum dimulakan di Thailand pada pertengahan 2007.
Menurut Mohd Zawawi, meniru budaya asing tanpa mengetahui latar belakang perbuatan itu sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran dan perkara itu bukan sahaja menjejaskan akhlak, malah keimanan mereka juga.
Berita penuh
di sini.