Indonesia memang terkenal dengan pelbagai perubatan alternatif. Idea untuk mencuba perubatan tradisional itu timbul apabila seorang rakan menceritakan keberkesanan rawatan tersebut untuk membuang toksik di dalam badan. Rakan itu melakukan rawatan berbekam sekali setiap bulan.
Lebih meyakinkan lagi rawatan bekam itu dilakukan oleh sekumpulan ustaz. Terdapat juga anak-anak muda yang dididik dengan pendidikan Islam. Pada masa yang sama mereka mendalami kemahiran perubatan tradisional yang mungkin semakin berkurangan di Malaysia.
Di Indonesia hospital dipanggil ‘rumah sakit’, namun uniknya tempat bekam berkenaan dikenali sebagai ‘rumah sihat’. Rumah Sihat Terapi Holistik Yayasan Ath-Thibbun Nabawi, begitulah nama pusat rawatan tersebut. Nama rumah sihat itu sedikit sebanyak memberi kesan psikologi kepada pesakit yang datang mendapatkan rawatan.
Sebelum menjalani bekam seorang pakar akan memeriksa mata pesakit dengan cara mengambil gambar mata. Daripada mata dapat dikesan penyakit yang dialami.
Memang cukup mengkagumkan. Hanya dengan menganalisis urat mata, pakar berkenaan dapat mengesan masalah yang dihadapi pesakit. Setelah selesai pemeriksaan mata dan penyakit dikenal pasti, pesakit akan dicadangkan ubat-ubat tertentu yang semuanya adalah bahan-bahan ramuan herba dan ia tidak wajib dibeli.
Cukuplah penulis katakan kesannya memang menakjubkan. Sakit yang dialami hilang begitu sahaja. Rawatan tersebut dikatakan berkesan terutamanya bagi sakit kepala, sakit tengkuk dan pinggang yang sering dialami oleh mereka yang bekerja dalam keadaan duduk yang lama.
Pengalaman yang dilalui penulis tidak seburuk yang disangkakan kerana menurut Rikzi iaitu pemuda yang melakukan bekam ke atas penulis, terdapat pesakit yang pengsan dan terlentang ketika rawatan berjalan.
Istilah bekam sebenarnya adalah dalam bahasa Melayu. Di Indonesia kaedah perubatan itu juga dikenali sebagai kop atau cantuk iaitu bertujuan membuang darah kotor dari dalam tubuh melalui permukaan kulit. Jika dahulu kulit dihiris menggunakan pisau cukur sebelum ditekap dengan tanduk dan kemudian dibakar bahagian hujungnya bagi menimbulkan kesan vakum, tetapi dengan kaedah moden, cawan plastik digunakan dan penyedutan pula menggunakan pam angin. Sementara luka pada kulit pula menggunakan jarum yang bersih dan telah disteril.
Bekam merupakan perubatan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Bukhari:
Daripada Ibnu Abbas r.a. Rasulullah bersabda: “Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal: dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas.”
Tips untuk berbekam di Indonesia adalah memilih tempat bekam yang diiktiraf oleh Jabatan Kesihatan sebagaimana premis yang dikunjungi penulis. Selain itu perlu dipastikan penggunaan alat bekam yang telah di steril untuk mengelak jangkitan kuman atau virus lain.
No comments:
Post a Comment